Thursday 28 August 2014

Gabungan Mahasiswa UKM Masih Di Takuk Lama

Serangan siber yang dilancarkan GMUKM saban tahun untuk memanipulasi psikologi dan persepsi mahasiswa/wi UKM dan bakal pelajar tahun 1 setiap kali sesi kemasukannya telah mulai hilang kreativitinya. Barangkali ketandusan modus operandinya menyebabkan daya keintelektualan dan budaya ilmu yang kononnya disanjungi ketika dahulu merundum dengan pesatnya.


Penulis melihat melalui post yang dipaparkan melalui Facebook rasminya hanya menunjukkan bahawa golongan ini semakin hari semakin paranoid dengan bayang ‘Aspirasi’. Penulis yakin bahawa mereka sendiri berasa kabur dengan pengisian ‘Apresiasi Aspirasi’ sebagaimana yang telah direncanakan untuk dijayakan oleh semua Pemudah Cara (PC) 14/15 ini. Akhirnya mereka hanya menimbulkan kontroversi pada satu slot itu sahaja melalui penandaan yang telah dibuat. Kegagalan mereka memahami slot itu juga sebagai tanda kesombongan mereka untuk tidak bertanya kepada yang arif perihal pengisian ataupun PC pro GMUKM sendiri gagal memberi kefahaman yang baik kepada kumpulan sokongan mereka.

Perkara yang lebih mengecewakan dalam post tersebut apabila tentatif yang telah dirancang dengan penuh teliti demi memenuhi aspirasi (rujuk makna -  http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=aspirasi) universiti dan negara gagal difahami dengan baik oleh GMUKM. Kejahilan dalam memahami tujuan sebenar pengisian Minggu Mesra Mahasiwa (dahulunya Minggu Mesra Pelajar) hanya membawa mereka kepada satu isu yang cukup remeh, “Isu Aktiviti Tamat Mengikut Jadual” . Di manakah keupayaan analisis yang kritikal yang mereka bicarakan? Adakah hanya satu retorik semata-mata? Apakah peranan PMUKM yang sewajarnya memberi kefahaman kepada golongan ini berkaitan hasrat Dato’ Naib Canselor untuk menerapkan semangat The Guardian of Nation dalam kalangan pelajar kemasukan baru ini?

Maka penulis dapat memahami bahawa mereka hanya berniat untuk mengganggu gugat perjalanan program Minggu Mesra Mahasiswa sahaja dan menimbulkan ketidak senangan kepada bakal mahasiswa UKM sesi 2014/2015. Kesimpulannya kami daripada urusetia Aspirasi UKM menasihatkan kepada mereka agar berfikirlah dengan bijak selaras dengan kedudukan mereka sebagai mahasiswa yang dipandang sebagai golongan ilmuan muda. Andai mereka gagal memahami maksud ini, maka benarlah budaya politik dan tahap keilmuan mereka masih di takuk lama.

0 comments:

Post a Comment