Sunday 16 March 2014

Hedonisme Membunuh

Apa guna agama dan pegangan jika tidak beramal, apa guna peraturan jika tidak dipatuhi. Sebagai rakyat yang bertamandun dan punya akal fikiran, kita sepatutnya sedar bahawa setiap perbuatan yang bakal kita buat akan dihisab dan dinilai.

Budaya hedonisme yang melampau tidak mencerminkan imej negara Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Budaya seperti ini perlu ditangani dengan segera agar imej negara kita tidak lagi tercalar dan dipandang serong oleh negara luar.

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kes kematian remaja akibat daripada pengambilan dadah dan arak yang berlebihan. Mengapa perkara ini terjadi? Adakah rakyat Malaysia tidak didedahkan dengan bahayanya dadah dan arak? Jawapannya ada pada diri setiap individu kerana walau apapun yang dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab untuk memberi kesedaran, jika ianya dipandang enteng. Jangan terkejut jika perkara yang sama akan berulang lagi selepas ini.

Lumrah manusia untuk berseronok dan bergembira. Namun jika batas pergaulan tidak dijaga, pegangan agama diketepikan, perkara yang tidak dingini pasti akan berlaku. Mencegah lebih daripada mengubati. Jadi, untuk mengelak perkara seperti ini berlaku, 

kita seharusnya, memikirkan kesan sebelum melakukan sesuatu,

Kesan yang dimaksudkan pula terbahagi kepada beberapa kesan iaitu, kesan kepada diri sendiri, kesan kepada keluarga, juga kesan kepada negara. Anak jenis apa yang mahukan arang terpalit dimuka ibu-bapa mereka. Manusia jenis apa yang mahu menjahanamkan diri sendiri, dan rakyat jenis apa yang mahu melingkupkan negara tumpah darah mereka. 

Selain itu, pihak berkuasa juga perlu mengambil tindakan sebelum perkara buruk berlaku.

Pihak berkuasa sememangnya mempunyai kuasa dalam meluluskan serta membatalkan sesuatu perkara yang berkaitan dengan kuasa mereka. Sebagai contoh, pihak berkuasa perlu menjadi lebih serius dalam menangani budaya hedonisme ini. Tindakan meluluskan sebuah konsert besar-besaran merupakan tindakan yang sangat dikecam walaupun ianya memberi keuntungan kepada negara.

Peranan kerajaan dalam mengawal media juga penting dalam menangani isu ini.

Kerajaan seharusnya menyekat unsur-unsur hiburan yang melampau agar minda rakyat Malaysia tidak tercemar dek kerakusan media untuk mengaut keuntungan. Malaysia tetap boleh membangun walaupun kita tidak didedahkan dengan perkara yang melangkau batas agama. 

Pelbagai cara lain boleh digunakan untuk menyekat budaya hedonisme ini daripada berkembang luas. Sebagai gerakan mahasiswa, Aspirasi Mahasiswa menyeru rakyat Malaysia untuk menolak gejala hedonisme daripada berkembang luas di negara ini. Jadilah rakyat Malaysia yang punya minda kelas pertama. Elakkan daripada memalukan negara sendiri dan patuhi batas yang digariskan agama.

Selamatkan belia Malaysia! Kami tolak budaya hedonisme!

0 comments:

Post a Comment