Saturday 15 March 2014

Forum Celik Minda Mahasiswa : Satu Cabaran Yang Menguji


Menulis sebagai salah seorang ahli sekretariat Celik Minda Mahasiswa (CMM) yang bekerja secara langsung untuk melaksanakan program ini dari awal hingga akhirnya. Andai kata setiap program tidak lari daripada masalah, saya yakin Forum Siri 2 : Literasi Politik –Dimanakah Mahasiswa Kita? kali ini menghadapi lebih banyak daripada program yang lain. 

Gerak kerja untuk melaksanakan forum ini bermula seawal dua minggu sebelum perlaksanaannya hari ini. Setiap hari semua ahli sekretariat bekerja bertungkus-lumus untuk memastikan program ini berjalan dengan licin dan lancar. Namun demikian, seawal jam 7:45 malam, siapa sangka Auditorium Siswa, Pusanika – dewan khas untuk semua siri forum Celik Minda Mahasiswa hari ini terputus bekalan elektrik. Benar, ‘malang tidak berbau’ namun kami tidak patah semangat. Tahniah kepada felo kolej dan rakan-rakan sekretariat yang terus berusaha untuk memastikan program ini terus berjalan lancar. Alhamdulillah, program terus berjalan di dewan kuliah DK3F203, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK).

Ahli panel yang ditampilkan kali ini bukan calang-calang orang. Encik Anuar Ahmad, Saudara Anis Anwar dan Saudara Naim Fital. Kami bawakan panel dalan kalangan warga UKM sendiri. Mengapa? Kami yakin UKM mempunyai ramai bakat besar yang mampu membawa perubahan kepadakomuniti varsiti kesayangan kita. Kami sediakan platform sebagai wadah untuk mahasiswa mengemukakan pandangan melalui saluran yang betul, bukannya dengan lontaran persepsi dan spekulasi semata-mata. Bila dikritik, kita cepat melenting.
Kita hidup dalam dunia demokrasi, tetapi pengamalannya di mana? Kita masih berada di takuk yang sama, tiada perubahan. Program Celik Minda Mahasiswa ini diwujudkan agar mahasiswa UKM khususnya dapat mengaudit diri. Ubah demi komuniti varsiti yang lebih ideal!

Kami kecewa apabila Presiden PMUKM, Saudara Mustapha Kamal Husen seolah-olah bermain tarik-tali dengan kami. Beliau bersetuju untuk hadir sebagai panel pada siri forum kali ini, namun pada saat akhir beliau lari daripada hadir atas kapasiti sebagai Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia – satu badan yang mewakili seluruh warga UKM. Begitu juga dengan Saudara Jason Ng yang sepatutnya hadir mewakili PMUKM selepas presidennya gagal berbuat demikian. Beliau tidak hadir ke forum ini, namun dapat hadir ke sebuah lagi majlis yang secara tiba-tiba muncul – kebetulan tarikhnya sama dengan forum ini. Kami juga mendapat tahu semua Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPPUKM) dibekukan daripada hadir sebagai panel pada siri kali ini. Mengapa ini terjadi? Bukankah MPP sepatutnya menjadi wakil suara ‘sebenar’ pelajar yang telah memilih mereka? Mengapa dalam kalangan MPP sendiri tidak dilihat kerjasama dan menyokong program anjuran satu sama lain?


Benar kata Saudara Naim Fital, jika benar Aspirasi Mahasiswa dan Gabungan Mahasiswa bekerja demi satu matlamat yang sama – kebajikan pelajar UKM keseluruhannya, mereka tidak akan bergaduh. Tidak ada suara-suara sumbang yang menyalahkan antara satu sama lain. Jadilah mahasiswa yang benar-benar faham literasi politik yang sebenar supaya setiap tindakan yang kita lakukan tepat dan benar. Tahniah Sekretariat Celik Minda Mahasiswa (CMM), teruskan misi murni anda!


"MEMUPUK BUDAYA KOMUNITI VARISTI YANG IDEAL"

0 comments:

Post a Comment